News & Events

ARTICLE | 1st April 2022

EPIDURAL

EPIDURAL

"Betul ke saya hanya boleh ambil epidural selepas pintu rahim buka 3cm, dan tidak boleh ambil epidural selepas 6cm?"

Sebenarnya, tiada kekangan pembukaan pintu rahim untuk mengambil epidural.

Isunya, jika doktor memberi epidural terlalu awal, ada kemungkinan anda sebenarnya mengalami 'false labour'. Kontraksi mungkin berhenti dengan sendirinya. Tak kan nak teruskan dengan epidural untuk 2-3 hari (atau seminggu!) sementara menunggu 'true labour'? Tak kan nak biarkan salur epidural berada di rongga tulang belakang untuk masa yang lama? Atau nanti doktor terpaksa induce anda, semata-mata sebab anda telah pun diberi epidural?

Oleh itu, lazimnya doktor akan menunggu sehingga dia yakin bahawa anda benar-benar sudah mengalami 'true labour' atau 'active phase of labour' sebelum memberi epidural. Ada wanita yang sudah mengalami true labour pada pembukaan pintu rahim 2cm. Ada wanita yang masih belum pada pembukaan 4cm (contoh - grandmultip). Juga, wanita yang di'induce' juga boleh mengalami kontraksi kuat namun pintu rahim masih belum 4cm. Setiap wanita berbeza. Biarlah doktor yang memastikan waktu yang sesuai untuk anda.

Jika pembukaan pintu rahim melebihi 6cm, pun tiada halangan untuk epidural.

Isu-isunya:

1. Doktor bius mungkin mengambil masa 30-45minit untuk datang, untuk terangkan tentang epidural, untuk menyediakan ubat dan peralatan. Entah-entah apabila selesai memasukkan salur epidural, pintu rahim anda telah buka sepenuhnya, dan sudah tiba masa untuk meneran! Tak sempatlah anda 'menikmati' epidural itu!

2. Lazimnya, pada pembukaan pintu rahim melebihi 6cm, kontraksi akan sangat kuat dan sangat kerap. Untuk doktor bius memasukkan salur epidural dengan selamat dan tepat, anda perlu duduk tegak untuk 10-15 minit, tanpa bergerak. Jangan pusing kiri, pusing kanan, mengalihkan punggung dsb. Bolehkah anda lakukan ini selama mengalami kontraksi yang sangat sakit?

Doktor tidak kejam. Ada sebab kenapa kadangkala kami kurang setuju dengan kemahuan pesakit.

Dr Anna Liza Roslani

Pakar Obstetrik dan Ginekologi

Maternal Fetal Medicine

KMI Kuantan Medical Centre