News & Events

NEWS | 2nd August 2018

Sultan Mizan rasmi bangunan baru KTS

Sultan Mizan rasmi bangunan baru KTS

KUALA TERENGGANU, 2 Ogos (Bernama) -- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenaan berangkat merasmikan Kuala Terengganu Specialist (KTS) Hospital yang beroperasi di bangunan baharu di Jalan Sultan Mahmud, Batu Buruk di sini hari ini.

Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, anakanda-anakanda baginda berdua, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Mua'az dan Tengku Fatimatuz Zahra'.

Turut hadir Menteri Besar Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif TDM, Datuk Mohamat Muda serta barisan kepimpinan negeri.

KTS adalah satu daripada empat buah hospital pakar kepunyaan Kumpulan Medic Iman (KMI) iaitu anak syarikat TDM Berhad (TDM), sebuah syarikat milik kerajaan Terengganu.

Hospital lapan tingkat yang mula beroperasi 28 Jan itu mempunyai 130 buah katil, lima dewan bedah, satu unit rawatan rapi.

Perkhidmatan yang ditawarkan KTS meliputi disiplin utama perubatan seperti perubatan umum, Obstetrik dan Ginekologi, Ortopedik, Pediatrik, Dermatologi, Makmal, Farmasi, dan Pengimejan Diagnostik seperti X ray dan Mammogram.

Terdahulu, Sultan Mizan dalam titah perasmiannya berharap kewujudan KTS bukan sekadar menawarkan pilihan kepada rakyat negeri itu bagi mendapatkan rawatan dan penjagaan kesihatan tetapi menjadikan Terengganu sebagai hub pelancongan kesihatan khususnya bagi rakyat di negara ini.

"Dengan reka bentuk bangunan yang mengikut standard piawaian antarabangsa, KTS berupaya menjadikan Terengganu sebagai hub pelancongan kesihatan di Malaysia.

"Beta dimaklumkan bahawa TDM Berhad melalui Kumpulan Medic Iman menawarkan penjagaan kesihatan pada kos yang berpatutan, ini memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta di bawah TDM (termasuk KTS)," titah baginda.

Selain KTS di Kuala Terengganu, TDM Berhad mempunyai tiga lagi hospital iaitu Kuantan Medical Centre, (Pahang), Kelana Jaya Medical Centre (Selangor) dan Taman Desa Medical Centre (Lembah Klang).

-- BERNAMA