Berita & Acara

ACARA | 18th August 2024

Tawau Marathon 2024

TAWAU - Tawau Marathon 2024 mencipta sejarah sebagai acara maraton pertama  di Tawau. Ini adalah hasil usaha berdedikasi warga Tawau sendiri melalui Kumpulan Tawau Runners. Acara itu menarik 2,300 pelari dari seluruh Sabah dan 15 negara lain, menjadikannya satu kejayaan besar untuk masyarakat setempat. Tawau Marathon 2024 mempunyai empat kategori larian jarak jauh: 42km, 21km, 10km dan 5km. Sambutan amat meriah kerana hotel dan penginapan homestay di Tawau telah ditempah sepenuhnya dengan peserta dari luar daerah. Kemeriahan majlis tersebut dirasai seluruh masyarakat Tawau yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam kelancaran majlis tersebut.

Majlis perasmian Tawau Marathon 2024 telah dirasmikan oleh Datuk Andi Suryady, ADUN Tanjung Batu sekaligus Pembantu Menteri Industri dan Keusahawanan Sabah. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa acara ini bukan sahaja merupakan satu pencapaian yang membanggakan tetapi juga berpotensi untuk meningkatkan sosioekonomi tempatan. Beliau berharap agar acara ini dapat diteruskan dan dikembangkan menjadi acara tahunan yang lebih besar di masa hadapan. Beliau juga akan mencadangkan acara larian Tawau Marathon 2024 ini kepada Lembaga Pelancongan Sabah untuk dimasukkan ke dalam Kalendar Pelancongan Sabah. Beliau percaya acara ini akan mampu melonjakkan lagi Tawau menjadi destinasi pelancongan sukan di negeri ini.

Pemenang bagi kategori 42km lelaki terbuka adalah Wilsen Singgin, Syahrul Betzam Sukasdi, dan Hung Pham. Dalam kategori 42km perempuan terbuka, pemenangnya adalah Chang Nong, Hasnita Binti Asis, dan Chan Do. Dennis Isika dari Kenya berjaya meraih kemenangan dalam kategori 42km lelaki veteran, diikuti oleh Milton Amat dan Tivel Peter. Untuk kategori 42km perempuan veteran, pemenangnya adalah Hien Nguyen, Li Min Ho, dan Selfiah Swunto.

Selain peserta dari Malaysia, peserta yang mengesahkan penyertaan termasuk dari Ethopia, Kenya, Korea Selatan, Belgium, China, Hong Kong, Taiwan, Amerika, Vietnam, Thailand, India, Singapura, Indonesia dan Brunei. Ini kerana Tawau Marathon 2024 perlu terus diteruskan dan disokong. Acara ini bukan sahaja merupakan satu acara sukan, tetapi juga berfungsi sebagai platform untuk mempromosikan Tawau sebagai destinasi larian maraton yang menarik di peringkat negeri, negara, dan antarabangsa.

Oleh itu, KMI Tawau berbesar hati menjadi salah satu barisan penaja dalam acara larian Tawau Marathon 2024. Terima kasih kepada ahli Tawau Runners, peserta dan orang ramai yang hadir mengunjungi reruai KMI Tawau Medical Centre pada 16-17 Ogos 2024, Jumaat dan Sabtu di Dewan Masyarakat Tawau serta acara kemuncak pada 18 Ogos 2024 (Ahad) di Padang Bandaran Tawau bagi pemeriksaan saringan kesihatan dan analisis komposisi badan secara percuma serta mendapatkan nasihat kesihatan.

 

Terkini