News & Events

NEWS | 16th April 2020

Covid-19: KMI Healthcare Jalankan Bisnes Luar dari Kebiasaan - Sinar Harian

KUALA TERENGGANU – Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) menjalankan perniagaan luar dari kebiasaan dengan menawarkan perkhidmatan dalam talian, penjagaan di rumah dan khidmat penghantaran berikutan pandemik koronavirus (Covid-19).

Pengerusi KMI, Datuk Raja Idris Raja Kamarudin berkata, antara perkhidmatan itu adalah rundingan dalam talian, lawatan ke rumah dan perkhidmatan penghantaran dalam beberapa bidang terpilih seperti penjagaan kejururawatan, fisioterapi, farmasi, makanan dan kesihatan.

Menurutnya, ia melibatkan semua empat rangkaian hospitalnya iaitu Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS), Kuantan Medical Centre (KMC), Kelana Jaya Medical Centre (KJMC) dan Taman Desa Medical Centre (TDMC).

“Landskap yang dibawa oleh Covid-19 adalah salah satu kesan dalam skala terbesar yang tidak pernah dilihat dunia pada abad ini, ianya juga adalah merupakan yang pertama dihadapi oleh dunia moden dan digital.

“Oleh itu, sudah pasti kita juga harus mengubah cara kita menjalankan perniagaan kita dan terus bergerak maju ke hadapan kerana kita tidak pasti berapa lama lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan berlaku.

“Contohnya, KMC menawarkan perkhidmatan pengambilan di rumah untuk pesakit fisioterapi di hospital mereka, KTS menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan dari dapur mereka dan kedua-dua hospital kami di Lembah Klang iaitu KJMC dan TDMC pula menawarkan penghantaran ubat dari farmasi mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raja Idris berkata, pihaknya akan membuat penilaian sebelum lawatan untuk mengelakkan potensi risiko selain persediaan peralatan perlindungan diri (PPE) yang betul oleh barisan hadapan bagi memastikan keselamatan dan perlindungan semua kakitangan serta pelanggan.

Selain itu katanya, panduan penting bagi operasi perniagaan turut disediakan untuk mengatasi sebarang masalah dan memastikan langkah-langkah penjarakan sosial diikuti dengan rapi.

"Di peringkat hospital pula, KMI Hospital melakukan tindakan pencegahan termasuk pemeriksaan suhu bagi setiap orang yang masuk ke hospital, kaunter pemeriksaan khas, menghadkan pintu masuk, maklumat dalam bentuk brosur dan poster Covid-19 dan mendorong amalan kebersihan tangan yang baik," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sejak awal Mac, kebanyakan hospital KMI telah mula menawarkan ujian Covid-19 rT-PCR untuk orang ramai dan memperluaskan perkhidmatannya kepada pandu lalu hingga akhir Mac 2020 lalu.

“Kami ingin memastikan bahawa pesakit dan pelanggan kami akan dijaga dengan baik walaupun terdapat situasi pandemik global ini dan hospital kami akan terus menjadi penyedia perkhidmatan kesihatan yang dipercayai oleh orang ramai,” katanya.

 

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/79149/EDISI/Terengganu/Covid-19-KMI-Healthcare-jalankan-bisnes-luar-dari-kebiasaan

What's New

Past

Address

Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd
25th Floor, Menara KH Jalan Sultan Ismail 50250 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Malaysia.

Direct Line No

+603-2779 0573