News & Events

NEWS | 18th March 2024

Pendapatan KMI Healthcare meningkat kepada RM332.8 juta

KUALA TERENGGANU: Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 19 peratus kepada RM332.8 juta bagi tahun kewangan berakhir Disember 2023 daripada RM279 juta pada 2022.

Pengerusi KMI Healthcare, Datuk Raja Idris Raja Kamaruddin, berkata prestasi baik itu didorong oleh faktor pertumbuhan hasil, kecekapan pengurusan kos, pelaburan strategik dan strategi kepuasan pelanggan oleh kumpulan.

Beliau berkata, walaupun berdepan cabaran pemulihan ekonomi dalam era pasca pandemik, KMI Healthcare berjaya menunjukkan daya tahan dan mencapai kejayaan dengan pertumbuhan yang ketara.

"Kami teruja untuk melaporkan satu lagi tahun prestasi kewangan yang kukuh. Pada 2023, KMI Healthcare berjaya mengendalikan pengurusan operasinya dengan lebih cekap sekali gus menghasilkan margin lebih tinggi.

"Syarikat juga terus membuat pelaburan strategik dalam teknologi, infrastruktur dan pengurusan sumber manusia dalam memastikan pertumbuhan jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Raja Idris berkata, syarikat itu merancang untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan dengan menambah baik perkhidmatan klinik dan pelaksanaan program titik sentuh pelanggan.

Menurutnya, reputasi KMI Healthcare dalam sektor penjagaan kesihatan telah diiktiraf melalui penerimaan enam anugerah berprestij di peringkat negara dan antarabangsa.

"Antara pengiktirafan diterima termasuk Healthcare Asia Awards dan Brand Laureate Best Brand Awards. Kami amat berbangga menjadi salah satu penyedia penjagaan kesihatan yang unggul di Malaysia," katanya.

KMI Healthcare merupakan anak syarikat TDM Bhd, sebuah syarikat sekuriti patuh Syariah yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Setakat ini, KMI Healthcare memiliki lima hospital termasuk KMI Kelana Jaya Medical Centre di Petaling Jaya, KMI Kuantan Medical Centre di Pahang, KMI Kuala Terengganu Medical Centre di Kuala Terengganu, KMI Taman Desa Medical Centre di Kuala Lumpur dan KMI Tawau Medical Centre di Sabah.

-BERNAMA

What's New

Past