News & Events

NEWS | 29th February 2024

Segmen penjagaan Kesihatan TDM rekod peningkatan 18% pendapatan suku keempat 2023

KUALA TERENGGANU 29 FEB - TDM Bhd, anak syarikat kerajaan negeri Terengganu merekodkan peningkatan sebanyak 18% bagi suku keempat 2023 dengan pendapatan sebanyak RM93.7 juta. 

Pengerusi TDM, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, jumlah itu melonjak nai berbanding pendapatan RM79.62 juta yang direkodkan suku keempat tahun 2022.

Menurutnya, menerusi segmen penjagaan kesihatan, kumpulan juga merekodkan peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM13.82 juta bagi suku keempat 2023.

"Ia adalah peningkatan 58% berbanding RM8.7 juta yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2022.

"Bagi keuntungan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pula, segmen penjagaan kesihatan TDM merekodkan peningkatan 42% iaitu RM19.2 juta berbanding RM13.5 juta sebelumnya," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Prestasi segmen penjagaan kesihatan yang kukuh dengan pendapatan tinggi itu adalah berikutan peningkatan kadar penghunian katil sebanyak 65% kepada 72%.

Selain itu, beliau berkata, peningkatan bilangan pesakit dirawat serta purata hasil bagi setiap pesakit dalam masing-masing juga meningkat sebanyak lapan peratus dan 11%.

Di bawah Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare), TDM mempunyai lima hospital pakar yang menawarkan penjagaan sekunder dalam semua bidang utama kesihatan.

Hospital-hospital tersebut adalah KMI Kelana Jaya Medical Centre, Petaling Jaya, Selangor; KMI Kuantan Medical Centre Kuantan,Pahang; KMI Kuala Terengganu Medical Centre, Terengganu; KMI Taman Desa Medical Centre, Kuala Lumpur dan KMI Tawau Medical Centre, Sabah.

Bagaimanapun, sektor perladangan TDM Berhad mencatatkan EBITDA sebanyak RM33.9 juta dalam suku tersebut, merosot 13% berbanding RM38.8 juta dalam suku sebelumnya.

Beliau berkata, bahagian perladangan juga melaporkan PBT sebanyak RM17.1 juta dalam suku tersebut, merosot 25% berbanding RM23 juta dalam suku pada tahun 2022.

"Penurunan ini disebabkan oleh penurunan harga purata Minyak Sawit Mentah (CPO) dan Isirung Sawit (PK) masing-masing sebanyak empat dan sembilan peratus berbanding dengan suku tahun 2022.

"Penurunan harga ini sebahagiannya diselaraskan dengan peningkatan dalam jumlah jualan PK sebanyak 10% dan Kadar Perahan Minyak (OER) serta Kadar Peroleh Isirung Sawit (KER) yang lebih baik masing-masing sebanyak empat dan dua peratus berbanding suku sebelumnya," ujarnya.

Ketika ini, TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) menguruskan sebanyak 13 ladang kelapa sawit, dua buah kilang, dua kilang Bio-Organik dan dua loji Biogas yang terletak di Terengganu. - DagangNews.com

What's New

Past