Berita & Acara

BERITA | 5th April 2023

Pesakit Islam di 5 hospital KMI dibantu tunai ibadah ketika dalam rawatan

Oleh Siti Nur Ain Mat Ripar - April 5, 2023 @ 5:21pm

bhnews@bh.com.my

 Pegawai agama dan kaunselor membantu pesakit mengenai cara menunaikan solat ketika menjalani rawatan di hospital
Pegawai agama dan kaunselor membantu pesakit mengenai cara menunaikan solat ketika menjalani rawatan di hospital

KUALA LUMPUR: Langkah Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) membangunkan program komprehensif menggabungkan amalan dan kepercayaan Islam dalam operasi harian di lima hospitalnya sejak tahun lalu di seluruh negara dapat membantu pesakit beragama Islam melakukan ibadah ketika dalam rawatan.

Bagi merealisasikan kemudahan itu, KMI Healthcare menyediakan pegawai agama yang terlatih dan berpengalaman dalam memberikan sokongan rohani serta emosi bagi membantu pesakit terbabit bersolat dan melakukan ibadah lain.

Inisiatif terbaru dinamakan Hospital Mesra Ibadah itu dilancarkan selepas melakukan analisis menyeluruh pada 2020 mengenai keperluan dan pilihan pesakit.

Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr Rayney Azmi Ali, berkata ramai pesakit mementingkan aspek kerohanian dan keagamaan ketika dirawat di hospital, tetapi mereka kurang pengetahuan mengenainya.

"Berpusat pada matlamat hospital untuk mendidik, pesakit dan keluarga mereka dibekalkan dengan maklumat dan sumber mengenai keperluan agama Islam.

"Kakitangan di hospital milik KMI Healthcare juga dilatih memahami kepelbagaian amalan bagi pesakit Islam. Selain itu, 70 peratus daripada kakitangan hospital juga menyertai kursus latihan modul diketuai pegawai agama hospital dan pakar daripada hospital swasta lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lima hospital milik KMI Healthcare ialah KMI Kelana Jaya Medical Centre, KMI Kuantan Medical Centre, KMI Kuala Terengganu Medical Centre, KMI Taman Desa Medical Centre dan KMI Tawau Medical Centre.

Dr Rayney berkata, kemudahan yang disediakan pihaknya membabitkan surau, tanda kiblat di setiap bilik, kit lengkap tayammum dan solat.

Beliau berkata, untuk mewujudkan persekitaran yang mesra dan inklusif, bilik tenang turut disediakan khusus untuk pesakit bukan Islam bersembahyang dan melakukan meditasi.

"Selain itu, E-book bertajuk Panduan Solat & Amalan Bagi Pesakit dan Doa & Zikir Harian turut disediakan kepada pesakit dan menjadi panduan menyeluruh untuk mereka bagi menunaikan solat harian," katanya.

Sementara itu, Dr Rayney berkata atas inisiatif dilakukan pihaknya ini, KMI Healthcare menerima dua anugerah iaitu Inisiatif Penjagaan Pesakit Terbaik dan Inisiatif Inovasi Penyampaian Perkhidmatan Terbaik pada Healthcare Asia Award 2023 yang diadakan di Shangri-La Singapura pada 29 Mac lalu.

Dua kakitangan KMI Healthcare menunjukkan dua anugerah yang diterima atas inisiatif hospital itu membantu pesakit beribadah ketika rawatan.
Dua kakitangan KMI Healthcare menunjukkan dua anugerah yang diterima atas inisiatif hospital itu membantu pesakit beribadah ketika rawatan.

Katanya, program ini membantu mewujudkan persekitaran yang lebih mesra dan inklusif untuk semua pesakit, terutama masyarakat Islam.

"Pencapaian besar bagi inisiatif Hospital Mesra Ibadah ini menghasilkan peningkatan yang ketara dalam kepuasan pesakit dan menerima maklum balas positif daripada pesakit dan kakitangan.

"KMI Healthcare komited untuk terus menambah baik dan mempertingkatkan program ini untuk memberikan penjagaan terbaik kepada pesakit serta keluarga mereka," katanya.

Terkini

Arkib