Berita & Acara

BERITA | 16th July 2023

Hospital KMI Keenam Dibina di Kemaman

KEMAMAN, 17 Julai - Syarikat berkaitan kerajaan negeri, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare atau KMI) bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad (TDM) akan membina hospital keenam milik syarikat itu di daerah ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata penambahan sebuah lagi hospital swasta bakal menggalakkan lebih banyak perkembangan positif serta meningkatkan kepelbagaian pilihan perkhidmatan kesihatan.

Katanya, selaras dengan usaha Kerajaan Negeri Terengganu dalam memastikan penyediaan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi dan mencukupi di negeri ini.

"KMI Healthcare dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) sebelum ini telah menandatangani Perjanjian Jual Beli serentak dengan acara itu untuk tanah seluas 5.4 ekar.

"Tanah tersebut terletak di Kampung Jaya, Mukim Chukai, dengan kos RM14.1 juta bagi pembangunan hospital pakar itu.

“Hospital KMI bukan sahaja mampu memenuhi permintaan dan meningkatkan pilihan perkhidmatan perubatan, malah mampu menjadikan Terengganu sebagai hab perubatan di rantau ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah KMI Chukai Medical Centre bertempat di Tapak KMI Chukai Medical Centre di sini semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi TDM, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar.

Tengku Seri Bijaya Raja berkata, KMI Healthcare telah meletakkan dirinya sebagai penyedia penjagaan kesihatan pilihan yang dipercayai terutamanya di jajaran pantai timur.

"Fasa pertama apabila hospital ini dibuka dijangka membuka lebih 150 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang kepada mereka yang berkelayakan.

"Keunikan yang terdapat di keenam KMI ini adalah setiap pesakit mempunyai satu bilik dengan fasiliti yang lengkap.

“Inisiatif ini bagi memberikan keselesaan dan privasi yang lebih kepada pesakit serta memudahkan pesakit melakukan ibadah dengan lebih tenang dan selesa,” ujarnya.

Di samping ujar beliau, pegawai agama juga tersedia di setiap KMI bagi membantu pesakit dari sudut kerohanian, pertanyaan persoalan agama dan sebagainya.

— Hafiz Rosli

Terkini

Arkib