Berita & Acara

BERITA | 7th July 2023

KMI Healthcare lancar hospital pakar di Tawau

KMI Healthcare yang merupakan anak syarikat TDM Berhad telah menjenamakan semula Tawau Specialist Hospital kepada KMI Tawau Medical selepas proses pengambilalihan selesai pada Mei tahun 2022 lalu.

TAWAU: Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) melancarkan KMI Tawau Medical iaitu hospital pakar swasta yang baharu diwujudkan di daerah ini.

KMI Healthcare yang merupakan anak syarikat TDM Berhad telah menjenamakan semula Tawau Specialist Hospital kepada KMI Tawau Medical selepas proses pengambilalihan selesai pada Mei tahun 2022 lalu.

Syarikat ini dalam rangka membuat penambahan sebuah lagi bangunan enam tingkat untuk meningkatkan kapasiti hospital berkenaan kepada 59 katil yang dijangka siap menjelang suku keempat tahun depan.

Ahli Dewan Undangan Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan berkata, pihaknya sangat berbangga kerana KMI dapat menyediakan pusat perubatan yang lengkap di daerah ini.

“KMI Tawau Medical adalah cawangan kelima yang ditubuhkan oleh syarikat ini dan sudah tentu ia dapat memberikan impak positif terhadap penduduk di daerah ini dan sekitarnya.

“Ia sudah tentu memberi nilai tambah dan menyediakan perkhidmatan yang sistematik serta membentuk pengurusan terbaik di hospital ini,” katanya ketika merasmikan pelancaran KMI Tawau Medical, di sini, pada Jumaat.

Katanya, difahamkan perkhidmatan pesakit antarabangsa adalah menjadi agenda seterusnya KMI Tawau Medical sebaik bangunan baharu yang menelan belanja keseluruhan RM10 juta itu siap kelak.

“Idea kreatif dan inovatif serta keberanian mencuba sesuatu yang baharu memberi pilihan kepada pelanggan untuk menikmati perkhidmatan kesihatan terbaik di daerah ini.

“Pembaharuan ini juga penting bagi memastikan daya saing negara terutamanya dalam usaha kita mempromosikan industri pelancongan kesihatan di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar KMI Tawau, Zainulalim Samsudin berkata, usaha menaik taraf KMI Tawau Medical ini adalah untuk meningkatkan kepuasan pelanggan di daerah ini.

“Ini termasuklah migrasi sistem maklumat hospital (HIS), pembelian beberapa peralatan perubatan seperti MRI, CT-Scan, C-arm dan Autoklaf yang akan digunakan untuk pembedahan.

“KMI Tawau Medical berdedikasi untuk memahami dengan lebih mendalam tentang keperluan pesakit bagi memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada komuniti setempat,” katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild Awang; Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin dan Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare Dr Rayney Azmi Ali.

Terdahulu, kemudahan perubatan yang ditawarkan KMI Tawau Medical ialah Perubatan Am, Pembedahan Am, Obstetrik & Ginekologi, Ortopedik, Pediatrik, Anestesia, Otorinolaringologi dan Radiologi.

Selain itu, perkhidmatan kecemasan 24 jam, Makmal, Farmasi. Pengimejan Diagnostik seperti Imbasan CT, Mamogram Digital, Pemeriksaan Ultrasound dan X-ray am.

— Hamzah Sanudin

 

Terkini

Arkib