Berita & Acara

BERITA | 2nd August 2023

Pusat perubatan KMI Kuala Terengganu tekad mengorak langkah kekalkan momentum cemerlang

KUALA LUMPUR 2 Ogos - KMI Kuala Terengganu Medical Centre (KMIKT) komited mengorak langkah bagi mengekalkan momentum agar tetap cemerlang sebagai hospital pakar swasta pilihan dan dipercayai. 

KMIKT merupakan anak syarikat bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad (TDM) di bawah kelolaan Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare).

Dalam satu kenyataan media hari ini, pusat perubatan itu berkata faktor utama menyumbang kepada prestasi cemerlang KMIKT adalah peningkatan dalam bilangan pesakit dalam dan pesakit luar serta pertambahan kadar penghunian bilik. 

Pengerusi KMIKT, Mazli Zakuan Mohd Noor berkata KMIKT akan memberi tumpuan untuk meningkatkan perkhidmatan dan sub-kepakarannya dengan menawarkan pelbagai servis kesihatan yang memenuhi permintaan pelanggan. 

Selain itu, katanya, tumpuan turut diberikan dalam meningkatkan penembusan pasaran kepada segmen pasaran baharu dan sedia ada di Pantai Timur. 

"Usaha berterusan untuk mewujudkan kerjasama dengan kedua-dua sektor awam dan swasta juga akan terus diperhebat. 

Setakat ini, kerjasama di antara KMIKT dan LPPKN (Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara) masih lagi diteruskan untuk Program Saringan Mammogram, di mana Wanita PERKESO yang berumur 40 tahun ke atas layak untuk mendapatkan ujian saringan Mammogram secara percuma di premis KMIKT," tambah beliau. 

Mengulas perancangan syarikat, Pengurus Besar KMIKT, Salina Long berkata, "Sebuah pusat dialisis akan dibuka di dalam fasiliti KMIKT pada tahun hadapan, yang dijangka dapat menampung keperluan pesakit. Usaha ini seiring dengan visi syarikat untuk menempatkan pelbagai perkhidmatan kesihatan di bawah satu bumbung. 

Melangkah ke hadapan, KMIKT turut merancang penawaran perkhidmatan baharu pada tahun depan seperti onkologi dan neurologi, sementara bersedia untuk melabur dalam teknologi yang moden dan terkini agar perkhidmatan bermutu tinggi dan berkembang mengikut peredaran zaman. 

KMIKT berkata ia kini harus komited untuk mendapatkan pensijilan Malaysia Society for Quality in Health (MSQH) yang merupakan satu akreditasi yang mengikut piawaian dan kuality antarabangsa untuk sektor kesihatan.

— Diyana Isamudin

Terkini

Arkib