News & Events

NEWS | 18th January 2020

Terengganu Terkilan Dengan Kementerian Kesihatan - Berita Harian

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri terkilan apabila dihalang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengeluarkan kenyataan perkembangan terkini kes influenza di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak yang kecewa dengan arahan itu berkata, kes penularan influenza di negara ini bukanlah penyakit baharu yang perlu disorokkan.

Katanya, kes penularan influenza berlaku setiap tahun di seluruh negara. Bagaimanapun, tindakan melarang kerajaan negeri dan exco berkaitan kesihatan mengeluarkan kenyataan mengenainya menampakkan seolah-olah KKM tidak bersedia melaksanakan tanggungjawab.

“Saya yang dipertanggungjawabkan sebagai exco kesihatan pun hairan apabila dilarang mengeluarkan kenyataan mengenai kes influenza di negeri ini.

“Penyiaran berita mengenainya boleh menyedarkan masyarakat agar sama sama menjaga kebersihan bagi mengekang penularan virus itu,” katanya.

Dr Alias berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kesihatan 2020, anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (PPM), cawangan Terengganu dan Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS).

Yang turut hadir adalah pengerusi PPM, Dr Velkanthan Muniady dan Pemangku Pengurus Besar KTS, Salina Long.

Dr Alias berkata, kerajaan negeri dan exco kesihatan menjadi tumpuan rakyat dan pihak media untuk mengetahui perkembangan terkini kes influenza.

“Tetapi, malangnya kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Seri De Ahmad Samsuri Mokhtar dan saya sendiri tidak dibenarkan mengeluarkan kenyataan kes influenza,” katanya.

Sementara itu, mengulas isu pendermaan organ dalam kalangan rakyat negeri ini, Alias berkata setakat ini hanya 22,540 orang berikrar untuk menderma organ sedangkan keseluruhan rakyat di negeri ini berjumlah 1.2 juta orang.

Katanya, daripada 22,540 rakyat yang berikrar untuk menderma organ, hanya 10 orang sudah menunaikan ikrar.

“Jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan penduduk di negeri, mereka yang berikrar untuk menderma organ masih rendah sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan pada Jun 1970 memutuskan urusan pendermaan organ adalah harus, ” katanya.

Berita Penuh: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/01/647859/terengganu-terkilan-dengan-kementerian-kesihatan

What's New

Past