News & Events

NEWS | 15th January 2023

TDM, KMI Healthcare kekal taja TSG

Faizul Azlan Razak - Januari 15, 2023 @ 6:43pm

sukanteam@nstp.com.my

Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin (tengah) bersama pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) pada majlis pelancaran pasukan dan jersi baru TSG bagi musim 2023. - Foto ihsan TDM
Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin (tengah) bersama pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) pada majlis pelancaran pasukan dan jersi baru TSG bagi musim 2023. - Foto ihsan TDM

KUALA TERENGGANU: TDM Berhad, anak syarikat kerajaan negeri terus kekal sebagai penaja pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dengan tajaan sejumlah RM500,000 bagi musim 2023.

Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, turut sama dalam penajaan adalah bahagian penjagaan kesihatan syarikat, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare).

Menurutnya, kolaborasi dengan nama-nama berpengaruh seperti TSG amat penting bagi mengetengahkan produk-produk baru atau sedia ada.

"Penajaan ini adalah pelaburan strategik yang bijak sebagai penaja dalam membawa jenama TDM dan KMI Healthcare di Malaysia, seterusnya dapat dikembangkan sehinggga ke persada antarabangsa melalui pelbagai inisiatif bersama pasukan TSG.

"Kami berharap momentum jenama kami dapat diperluaskan lagi seiring dengan kejayaan dan anugerah yang diperoleh TDM di tahun-tahun sebelum ini," kata Najman.

Menurut Najman, rekod prestasi dan kejayaan TSG yang cemerlang dalam menakluki pelbagai kejohanan berbasikal di seluruh dunia memberi keyakinan kepada Kumpulan TDM untuk mengekalkan penajaan bagi musim 2023.

Menurutnya, pasukan TSG sekali lagi dinobatkan sebagai juara Jelajah Asia UCI, kedudukan ke-31 dunia daripada 212 pasukan profesional serta kedudukan ketiga pasukan Benua Dunia UCI.

"Terkini, TSG berjaya memenangi jersi merah selaku Raja Bukit serta jersi putih selaku Pelumba Terbaik Asia dan Pasukan Terbaik Asia Le Tour de Langkawi edisi ke-26 Oktober 2022.

"Kejayaan ini menjadi kebanggaan kepada kami sebagai penaja dan sebagai tanda sokongan kepada pasukan yang diurus tadbir oleh 90 peratus anak kelahiran Terengganu ini.

"KMI Kuala Terengganu dilengkapi dengan Pusat Fisioterapi dan Pemulihan yang boleh memberi manfaat kepada para pelumba basikal, atlet profesional dan peminat sukan dalam memulih dan mengekalkan mobiliti, fungsi dan kesejahteraan tubuh badan.

"Pihak syarikat berhasrat TSG dapat membantu mengetengahkan kemudahan ini bersama perkhidmatan penjagaan kesihatan lain kepada orang ramai," katanya.

Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin (Lapan dari kiri) bergambar bersama pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) pada Majlis pelancaran bagi pengenalan pasukan dan jersi baru TSG bagi musim 2023. 

What's New

Past