Berita & Acara

BERITA | 14th December 2020

KTS Perkenal Rawatan Kesihatan Di Rumah Serendah RM30 - TRDI

KUALA TERENGGANU, 14 Disember - Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTSH) terus meluaskan rangkaian perkhidmatannya apabila menawarkan servis penjagaan kesihatan terus ke rumah (KTSH Homecare) pada harga serendah RM30.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kelebihan utama KTSH Homecare adalah perkhidmatan rawatannya dilakukan secara menyeluruh dan mengutamakan kualiti.

“Dalam erti kata lain, apa yang ditawarkan di KTSH, juga boleh dilaksanakan di rumah, antaranya konsultasi pakar, fisioterapi, farmasi, dietetik dan nutrisi, serta perkhidmatan ambulans.

“Juga ada perkhidmatan lain seperti penjagaan sebelum dan selepas bersalin, penjagaan Orang Kurang Upaya, pesakit terlantar, warga emas, rawatan selepas pembedahan dan sewaan alatan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran ‘KTSH Homecare’  di ruang legar KTSH di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar KTSH, Salina Long dan Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin.

Menurut Dr Alias, seramai 10 jururawat terlatih dan beberapa pegawai perubatan serta doktor pakar sedia berkhidmat sekiranya mana-mana pesakit yang tinggal di kawasan Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang memerlukan rawatan.

“Harga rawatan yang dikenakan sangat berpatutan serendah RM30 atau bergantung kepada jenis penyakit dan tempoh perkhidmatan yang dikendalikan.

"Apa yang diperkenalkan bermula akhir tahun lalu itu, amat bersesuaian dengan perubahan kehidupan kepada norma baru kerana kebanyakan masyarakat hari ini, tidak digalakkan berada di kawasan berisiko.

"Berdasarkan rekod sehingga November lalu, seramai 700 individu yang menghidapi pelbagai penyakit telah menerima perkhidmatan KTSH Homecare,” katanya.

Untuk rekod, KTSH merupakan anak syarikat kerajaan negeri di bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad dan ia di bawah kelolaan Kumpulan Medic Iman (KMI Healthcare).

Berita Penuh: https://www.trdi.my/kts-perkenal-rawatan-kesihatan-di-rumah-serendah-rm30

Terkini

Arkib