Berita & Acara

BERITA | 25th April 2023

Hospital Mesra Ibadah

Dayang Pretty Abbyana Datu Asis - April 25, 2023 @ 7:10am

KUMPULAN Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) melancarkan inisiatif terbaharunya iaitu Hospital Mesra Ibadah selepas melakukan analisis menyeluruh mengenai keperluan dan pilihan pesakit.

KMI Healthcare dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mendapati ramai pesakit mementingkan aspek kerohanian dan keagamaan ketika berada di hospital untuk rawatan.

"Kami membangunkan program komprehensif yang menggabungkan amalan dan kepercayaan agama Islam ke dalam operasi harian di samping menangani keperluan fizikal dan emosi pesakit," katanya.

Menurutnya, kakitangan di hospital milik KMI Healthcare dilatih memahami kepelbagaian amalan bagi pesakit Islam.

"Sekitar 70 peratus kakitangan dari hospital KMI menyertai kursus latihan modul diketuai pegawai agama hospital dan pakar dari hospital swasta lain.

"Untuk melengkapkannya, pegawai agama terlatih dan berpengalaman dalam memberikan sokongan rohani dan emosi bersedia membantu dalam solat dan ibadah.

"Pasukan kaunselor yang berdedikasi juga tersedia bagi memberikan sokongan emosi kepada pesakit dan keluarga mereka ketika di hospital," katanya.

Kemudahan disediakan di semua hospital KMI Healthcare meliputi surau, tanda kiblat di setiap bilik, kit lengkap tayamum dan solat.

Untuk mewujudkan persekitaran mesra dan inklusif, bilik tenang turut disediakan khusus untuk solat dan meditasi bagi agama lain.

Menurutnya, pihaknya komited terus menambah baik dan mempertingkatkan program berkenaan untuk memberikan penjagaan terbaik kepada pesakit dan keluarga mereka.

"Komitmen terhadap inisiatif ini diteruskan dalam usaha mencapai taraf hospital patuh syariah," katanya.

Terkini

Arkib