Berita & Acara

BERITA | 10th March 2020

COVID-19: Kakitangan diuji negatif, TDMC beroperasi semula sejak semalam - BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Mac -- Pusat Perubatan Taman Desa (TDMC) yang mengesahkan satu kes pesakit dijangkiti virus COVID-19 pada 5 Mac lepas, telah beroperasi semula secara penuh sejak semalam.

TDMC, antara rangkaian hospital di bawah Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare), dalam satu kenyataan menyebut bahawa pusat itu baru-baru ini telah menguji sejumlah 43 petugas penjagaan kesihatan (HCW) bagi COVID-19 dan hasil ujian bagi kesemuanya adalah negatif.

"Bagaimanapun, sebagai langkah keselamatan lanjut, enam petugas terbabit telah dikuarantin. Ujian nasofarinks telah dilakukan ke atas setiap kontak primer dan sekunder yang berinteraksi rapat dengan pesakit," menurut kenyataan itu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, kenyataan itu menyebut bahawa ujian kedua akan dilakukan tidak lama lagi.

Pada 25 Feb, pesakit yang dimasukkan ke TDMC dilaporkan positif jangkitan virus itu pada 4 Mac dan hospital tersebut telah mengambil langkah segera dengan menutup semua bilik wad yang dijangkiti dan semua HCW yang berhubungan dengan pesakit dikenal pasti untuk tapisan.

"Pada 6 Mac, satu proses disinfeksi dan dekontaminasi telah dilaksanakan dengan jayanya di semua kawasan pesakit."

"Ciri-ciri kerja mereka menyebabkan petugas penjagaan kesihatan berdepan risiko yang semakin meningkat serta boleh dijangkiti mana-mana penyakit berjangkit, termasuk COVID-19," menurut kenyataan itu.

KMI Healthcare turut mengambil semua langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kakitangan, pesakit dan komuniti yang menerima perkhidmatannya.

-- BERNAMA

Berita Penuh: https://www.bernama.com/bm/am/news_covid-19.php?id=1820207

Terkini

Arkib