Berita & Acara

BERITA | 18th March 2024

KMI Healthcare catat peningkatan pendapatan 19% kepada RM332.8 juta bagi 4QFY23

KUALA LUMPUR 18 Mac -  Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare), anak syarikat bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad mencatat peningkatan pendapatan sebanyak 19% kepada RM332.8 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY23) berbanding RM279 juta pada tahun sama sebelumnya. 

KMI Healthcare berkata, keuntungan pendapatan tersebut didorong oleh peningkatan dalam bilangan pesakit dirawat (meningkat 13% YoY), kadar penghunian katil (meningkat 15% YoY) dan purata hasil bagi setiap pesakit dalam (meningkat 9% YoY).

Selain itu katanya, Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) syarikat juga turut meningkat sebanyak 49% daripada tahun sebelumnya kepada RM52.9 juta.

Katanya, keuntungan sebelum cukai (PBT) juga turut meningkat mendadak kepada RM31.3 juta daripada RM16.5 juta pada FY22.

"KMI Healthcare menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dengan sorotan utama prestasi kewangan KMI Healthcare untuk 2023 termasuklah pertumbuhan hasil, kecekapan pengurusan kos, pelaburan strategik dan strategi kepuasan pelanggan. 

"Di sebalik cabaran yang ditimbulkan oleh pemulihan ekonomi global pasca-pandemik, KMI Healthcare telah menunjukkan daya tahan dan pencapaian kejayaan yng luar biasa, dengan pertumbuhan ketara merentas metrik kewangan utama,"katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, KMI Healthcare mengendalikan pengurusan operasinya dengan cekap yang seterusnya menghasilkan margin yang lebih tinggi.

Katanya, syarikat itu juga terus membuat pelaburan strategik dalam teknologi, infrastruktur dan pengurusan sumber manusia bagi memastikan pertumbuhan dan kejayaan jangka panjang.

"Komitmen syarikat dalam menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi dapat dicerminkan dalam penilaian kepuasan pelanggan yang luar biasa, pengenalan perkhidmatan sub-kepakaran baharu dalam disiplin sedia ada, penjagaan pesakit yang lebih fokus dan penambahan lebih ramai doktor pakar akan menjadi sorotan dalam FY24," katanya.

Pengerusi KMI Healthcare, Raja Datuk Idris Raja Kamaruddin berkata, pihaknya sangat teruja untuk melaporkan satu lagi tahun prestasi kewangan yang kukuh. 

"KMI menyasar untuk menjadi penjagaan kesihatan yang lebih mengutamakan pesakit dengan menambah baik perkhidmatan klinikal dan melaksanakan program titik sentuh pelanggan. Dedikasi dan komitmen pasukan membolehkan kami memberikan hasil yang cemerlang," katanya. - DagangNews.com

Terkini

Arkib