Berita & Acara

BERITA | 23rd October 2023

KMI Tandatangani SSA Bersama Hospital Bersalin Razif

KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Anak syarikat penjagaan kesihatan TDM Bhd Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) memeterai Perjanjian Jualan Saham (SSA) bersama Hospital Bersalin Razif (HBR) di sini hari ini.

Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja berkata perjanjian itu adalah bagi pemerolehan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam HBR oleh KMI Healthcare.

Katanya, pemeteraian perjanjian antara kedua pihak merupakan satu lagi kejayaan besar bagi Kumpulan dan akan menjadi pemangkin untuk KMI Healthcare agar terus berkembang maju.

"Hospital Bersalin Razif akan menjadi hospital ke enam di bawah rangkaian KMI Healthcare melalui pengembangan ‘brownfield’ nya.

"Ia mempunyai kapasiti katil sebanyak 35 dengan lebih 20 tahun kehadiran di Klang, Selangor,"ujarnya.

Sementara itu, satu majlis makan malam penghargaan untuk 200 pemegang kepentingan di Hotel DoubleTree by Hilton, Kuala Lumpur turut diadakan.

Acara itu dihadiri oleh ramai pemain industri termasuk syarikat insurans, syarikat pentadbiran pihak ketiga (TPA), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), rakan kongsi dan pelanggan, lembaga pengarah dan warga pekerja Kumpulan.

Tengku Seri Bijaya juga berkata KMI Healthcare berbangga menjadi salah satu bahagian perniagaan yang pesat berkembang di bawah sayap pelaburan TDM Berhad.

"Ini termasuk sebagai Syarikat sekuriti patuh Syariah yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad. 

"Sejak penubuhannya, kapasiti katil di hospital KMI telah berkembang secara progresif untuk mempercepatkan kelajuan ke pasaran dalam tempoh lima tahun akan datang," ujarnya lagi.

Dalam masa sama, bagi perancangan masa hadapan, KMI Healthcare berazam untuk mencapai lebih kejayaan dengan strategi dan rancangan perniagaan yang kukuh, menambah lebih nilai kepada perkhidmatannya.

— Mastura Jamal Din 

Terkini

Arkib