Berita & Acara

BERITA | 2nd August 2018

Sultan Mizan rasmi KTS

Sultan Mizan rasmi KTS

KUALA TERENGGANU 2 Ogos - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini merasmikan bangunan Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) yang disifatkan sebagai penanda aras baharu dalam perkhidmatan rawatan dan penjagaan kesihatan di negeri ini.

Menurut baginda, bangunan baharu setinggi lapan tingkat di jalan Sultan Mahmud, di pinggir pantai peranginan Batu Buruk dengan model hospital salutogenik bagi keselesaan dan perkhidmatan bermutu tinggi, boleh turut berperanan sebagai pemangkin ke arah menjadikan Terengganu sebagai hab pelancongan kesihatan.

Selain itu, baginda menyarankan agar KTS menjadi jambatan menghubungkannya perkhidmatan dengan rakyat bagi membentuk budaya openjagaan kesihatan yang lebih baik.

“Dengan wujudnya hospital pakar yang serba lengkap itu, rakyat memiliki pilihan untuk penjagaan kesihatan pakar yang lebih cekap dan berkualiti,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan hospital milik TDM berhad di bawah anak syarikatnya, Kumpulan

Medic Iman (KMI) itu, di samping menyempurnakan pelancaran logo baharu KMI dengan tagline ‘Kesihatan Anda Keutamaan Kami’.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan anakanda-anakanda baginda, Tengku Muhammad Ismail, Tengku Muhammad Mua’az, Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra’.

Hadir sama, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali; Setiausaha Kerajaan, Datuk A. Rahman Yahya , barisan ahli Exco; para pegawai kanan kerajaan; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Datuk Mohamat Muda dan Ketua Pengarah Eksekutif KMI, Bryan Lin.

Hospital yang mula beroperasi 28 Januari lalu, dibina mengikut sepsifikasi JCI, sebuah badan akreditasi bertaraf antarabangsa, dilengkapi 150 katil, lima buah dewan bedah, satu unit rawatan rapi bersama 12 katil dengan kemudahan berteknologi terkini.

Titah baginda, bidang penjagaan kesihatan pada masa kini perlu selari dengan arus pemodenan dan dilihat semakin penting terutamanya dengan peningkatan kesedaran mengenai gaya hidup sihat.

Baginda yakin KMI mampu menyediakan segala kemudahan penjagaan kesihatan dan perkhidmatan dengan kos berpatutan yang membolehkan rakyat memperoleh manfaat daripadanya.

“Beta amat berharap agar penjagaan kesihatan bagi rakyat Terengganu khususnya dapat menjadi bertambah baik dan sempurna memandangkan KTS selama ini banyak membantu masyarakat terutamanya dalam bidang kardiologi dan obstetrik,” titah baginda.- UTUSAN ONLINE

Terkini

Arkib