Berita & Acara

BERITA | 3rd June 2023

Hospital mesra ibadah pertama di Perlis

Kuala Lumpur: Memberi fokus kepada kemudahan pesakit serta waris pesakit menunaikan kewajiban beribadah sepanjang berada di hospital.

Itu antara fokus dan matlamat pembinaan hospital mesra ibadah oleh Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) yang semakin berkembang di seluruh negara.

KMI Healthcare sebelum ini pernah menerbitkan e-buku Panduan Solat & Doa Amalan Bagi Pesakit berdasarkan rujukan Panduan Bersuci & Bersolat Bagi Pesakit oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersesuaian dengan prinsip Syarak yang bercirikan fleksibel, maslahah, mudah dan praktikal.

Terbaru KMI Healthcare di bawah TDM Berhad menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi pembangunan perkhidmatan kesihatan di Perlis dengan kerjasama Pembangunan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) semalam.

Ketua Pengarah Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rayney Azmi Ali, berkata, Perlis menjadi pilihan disebabkan permintaan oleh masyarakat setempat dan juga saranan kerajaan negeri Perlis.

"Ia juga adalah sebahagian dari pelan pembangunan strategik lima tahun KMI Healthcare untuk memperkembangkan perniagaan kesihatan kami supaya lebih berdaya saing.

"Dalam masa sama, KMI juga mengimbangkan kedudukan hospital di Pantai Timur Malaysia, khususnya bandar utama seperti di Kuala Terengganu, Kuantan, Pahang dan InsyaAllah di Kemaman dan juga Kelantan," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata, hospital mesra ibadah akan menarik perhatian rakyat Perlis untuk mendapatkan rawatan di sini.

"Selain daripada memberi manfaat dari sudut kesihatan, saya juga mengharapkan peluang pekerjaan dapat disediakan buat warga Perlis.

"MoU yang termeterai ini dapat menjalinkan hubungan yang erat di antara kedua negeri ini dan seterusnya paling penting menjadi antara pilihan utama rakyat Perlis dan penduduk sekitarnya dalam mendapatkan penjagaan kesihatan," katanya.

Majlis MOU itu turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

— Nisaa Iryanie Azhar

Terkini

Arkib